Thursday, April 30, 2009

Pandangan Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin berkenaan keputusan Kabinet Malaysia dalam penentuan agama anak



mStar Online > KOLUMNIS
Thursday April 30, 2009

Tiada kemunasabahan yang cukup untuk Kabinet menentukan agama anak


BERBAGAI pihak meminta saya menyatakan pendirian dalam isu agama anak yang ditetapkan oleh Kabinet Malaysia yang baru. Di sini saya sebut, ada beberapa masalah dalam isu ini yang mesti difahami dan dinilai, juga pendapat saya dalam hal ini;






Islam menganggap setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan yang bersih dari pencemaran pemikiran dan akidah. Tiada nilaian dosa atau pahala buat mereka. Jika mereka mati sebelum mencapai umur mukallaf, mereka mati dalam keadaan bersih sekalipun ibubapa mereka tidak menganut agama Islam.






Ibubapa merupakan faktor utama dalam mempengaruhi fitrah anak yang bersih tersebut. Anak kecil biasanya akan terikut dengan agama ibubapanya. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).






Para sarjana fekah ramai yang berpendapat bahkan ada yang mendakwa telah ijmak (sepakat), bahawa pengislaman bapa membawa kepada pengislaman anak yang masih kecil. Namun mereka berbeza pendapat tentang pengislaman ibu; apakah diikuti dengan pengislaman anak atau tidak.






Di kalangan sarjana fekah ada yang berpendapat agama anak berdasarkan agama yang paling mulia dan sudah pasti mereka akan memutuskan jika bertembung antara Islam dan selainnya; maka agamanya dianggap sebagai Islam. Apa yang penting tiada nas Islam yang jelas dalam memutuskan hal ini. Ia lebih merujuk kepada soal ijtihad. Namun asas yang penting yang mesti ditegakkan adalah keadilan, di samping memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.






Kepentingan membincangkan tentang status agama anak ini adalah untuk pengurusan jenazah, harta pusaka dan beberapa perkara yang lain. Bukan untuk menentu kedudukannya di syurga atau neraka seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan anak kecil bebas dari nilaian dosa dan pahala sehingga dia menjadi mukallaf.






Saya berpendapat; tiada kemunasabahan yang cukup untuk Pihak Kabinet menentukan agama anak secara keputusan yang sedemikian. Lebih baik urusan ini diserahkan kepada mahkamah –sekalipun mahkamah sivil- untuk memutuskannya.






Mahkamah mesti menentukan hak jagaan kepada pihak yang paling baik untuk kemaslahatan anak. Di sini datangnya peranan badan-badan Islam atau pihak pengurusan zakat umat Islam untuk memastikan kekuatan kewangan dan sebagainya dalam membantu ‘saudara baru’ melayakkan mereka mendapat hak jagaan. Jika badan-badan ini masih tidur atau sekadar sibuk dengan lawatan dan mensyuarat di hotel-hotel sahaja, jadilah apa yang terjadi sekarang. Keputusan kabinet tersebut boleh merampas hak salah seorang ibubapa yang menukar agamanya dan bersifat tidak adil. Jika sudut kebendaan itu yang dinilai, kelayakan menjaga seseorang anak itu berbeza antara pasangan.






Tidak mungkin dibuat keputusan yang tetap kerana setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza. Biar mahkamah menentukannya secara adil. Sesiapa yang berhak menjaga anak, maka tidak menjadi masalah jika berlaku perselisahan agama anak berdasarkan pihak yang menjaganya atau jika anak itu sudah pandai menilai, dia mungkin boleh membuat pengakuan agama pilihannya.






Sepatutnya, isu agama anak tidak ditimbulkan melainkan ketika perselisihan antara pasangan sahaja. Anak sepatutnya diberi peluang untuk mengenai Islam setelah ibu atau bapa menganut Islam. Peruntukan zakat muallaf secara besar perlu diberikan untuk ini. Zakat bukan lawatan hujung tahun dan penukaran kereta baru para pegawai. Malanglah keputusan kabinet ini boleh menghalang dakwah seorang bapa atau ibu kepada anak berkenaan.






Ini kerana, anak itu bersih fitrahnya. Ibubapa mempunyai peranan mempengaruhinya. Itu adalah hak mereka untuk mempengaruhi anak mereka. Jika salah seorang ibubapanya menganut Islam sementara seorang lagi tidak, anak berkenaan mungkin akan dipengaruhi oleh salah seorang daripada mereka.






Sekalipun jika mereka berpisah, peluang yang adil untuk anak bertemu dengan bapa atau ibunya hendaklah diberikan. Selepas itu terpulang kepada anak berkenaan dalam menentukan agamanya.






Saya berpendapat; keputusan kabinet lebih dipengaruhi oleh perkembangan politik kepartian dan undi tanpa melihat kepada sudut keadilan untuk semua. Ia adalah penindasan terhadap saudara baru dan boleh menakutkan mereka yang ingin menganut Islam. Dalam kegilaan mendapatkan undi, jangan digadai masa depan umat Islam dan keharmonian agama dalam negara.






Sekali lagi saya tegaskan, golongan ‘saudara baru’ dalam negara ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya dan pihak yang bertanggungjawab terutama yang menguruskan zakat dan badan-badan agama kerajaan pusat dan negeri tidak menyibukkan diri dalam menjaga kebajikan mereka dan usaha dakwah dalam memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam yang sebenar. Zakat tidak diuruskan dengan sepatutnya dan dana-dana untuk kemajuan Islam tidak dialirkan dengan cara yang wajar dalam menjaga kepentingan dakwah Islamiyyah.






Saya dengan ini meminta pihak Kabinet menilai balik keputusan tersebut dan juga pihak-pihak agama dalam negara kita memainkan peranan yang sepatutnya dalam memberikan keadilan kepada ‘saudara baru’.






Jika Fatwa Kebangsaan JAKIM boleh membuat sidang fatwa segera tentang ‘dakwat pilihanraya’ mengapa tidak Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak memberikan pandangan para mufti dengan segera dan jelas dalam hal ini. Malanglah jika isu penkid dan yoga digembar-gembur, tetapi isu keadilan hak saudara baru dilewat-lewatkan.






Saya ingin berpesan kepada diri sendiri, juga mengambil kesempatan berpesan kepada mereka yang berjawatan berkaitan agama agar jangan memikirkan tentang gaji, sambungan kontrak, gelaran menjelang harijadi sultan, elaun, rombongan dan urusan dunia yang lain melebihi kepentingan dan masa depan umat.





Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin, 29.4.09 Lampeter, UK.

No comments: