Thursday, February 18, 2010

Bila Satu Negara Leka Dengan 1 – 2 Isu Sahaja…..

Di Malaysia sekarang ini hanya ada 2 isu sahaja yang sedang menjalar – jalar. Isu – isu lain, walaupun lebih penting dan utama diketepikan serta dibuat – buat lupa sahaja.

Dua isu yang sedang sibuk diperhatikan, diperdebatkan (walaupun lebih kepada tong kosong bunyinya), hatta bermasam muka handai taulan adik beradik jiran tetangga kerananya ialah isu politik yang tak kunjung selesai dan isu kes mahkamah Anwar Ibrahim yang tak mahu selesai – selesai!

Berkenaan isu politik, penyelesaianya mudah iaitu sekarang ini ialah masa bekerja untuk rakyat. Bukannya sibuk mengajak rakyat kepada kempen pra pilihanraya, dengan pelbagai spekulasi yang ada dan yang boleh diadakan. Kita kena faham, khabar angin bermula kerana ada orang yang memulakannya. Ia tidak muncul dengan sendirinya. Percayalah sebab suatu ketika dahulu saya sendiri pernak memulakannya dan akhirnya ada orang menyampaikan khabar angin tersebut kepada saya.

Berkenaan isu kes Mahkamah Anwar Ibrahim, sila tonton, senyum dan tidak perlu komen. Jika ingin komen juga sila mohon untuk menjadi pencelah semasa prosiding kepada Hakim. Itu lebih baik dan bernas. Boleh juga tolong Karpal Singh.

Banyak isu lain yang lebih mendesak dan perlukan perhatian dan dokongan masyarakat. Salah satunya ialah pemotongan bantuan ke Sekolah bagi membantu para pelajar miskin. Hak orang miskin jangan diambil, kita yang tidak layak menerima sedekah pula hendaklah membantu. Bukannya kita pula yang lebih – lebih memohon bantuan walaupun kita tidak layak.

Ditambah pula yang Sekolah – Sekolah kini perlu membayar bil air dan elektrik mereka sendiri. Kerajaan akan memberi peruntukkan dan jika tidak cukup, maka Sekolah kenalah cari duit sendiri untuk menampungnya. Bila tidak cukup nanti, maka andalah selaku ibu bapa yang akan menampung kurangan tersebut.

Tidak cukup dengan isu pemotongan ini, isu GST pun belum nampak sebarang kejelasan dalam perlaksanaannya kelak. Baiklah kita kaji , debatkan, serta bahaskan sekarang. Jika tidak jika telah dilaksanakan kelak semuanya sudah terlambat dan kita akan menyesal sendiri.

Isu – isu pembaziran yang diketengahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara nampaknya telah menjadi senyap dan sunyi. Sedangkan dengan jelas ditunjukkan pembaziran yang berlaku (jika ada salahlaku belum dibuktikan dan sehingga hari ini tiada siapa pun diheret ke muka pengadilan).

Ini belumlah lagi isu keruntuhan moral, pembuangan anak, penyelarasan harga minyak mulai Mei 2010 ini (tak jelas lagi apakah yang dimaksudkan), kos broadband yang mahal di Malaysia (sebenarnya slowband….), taraf hidup kita yang semakin merosot. Ini tidak termasuk isu pencemaran alam sekitar yang kita buat sendiri, taman permainan yang tiada permainan, dan lain – lain isu yang mendesak lagi.

Biarlah isu berkenaan politik kita tangani bila sampai masanya. Orang yang kononnya hebat berpolitik, sudah – sudahlah. Mari bantu meningkatkan masyarakat.

Bagi kes mahkamah Anwar Ibrahim, sila bertenang!

Jadi banyak isu lain lagi yang lebih penting dan utama!

No comments: