Showing posts with label Ahli Politik. Show all posts
Showing posts with label Ahli Politik. Show all posts

Thursday, February 18, 2010

Bila Satu Negara Leka Dengan 1 – 2 Isu Sahaja…..

Di Malaysia sekarang ini hanya ada 2 isu sahaja yang sedang menjalar – jalar. Isu – isu lain, walaupun lebih penting dan utama diketepikan serta dibuat – buat lupa sahaja.

Dua isu yang sedang sibuk diperhatikan, diperdebatkan (walaupun lebih kepada tong kosong bunyinya), hatta bermasam muka handai taulan adik beradik jiran tetangga kerananya ialah isu politik yang tak kunjung selesai dan isu kes mahkamah Anwar Ibrahim yang tak mahu selesai – selesai!

Berkenaan isu politik, penyelesaianya mudah iaitu sekarang ini ialah masa bekerja untuk rakyat. Bukannya sibuk mengajak rakyat kepada kempen pra pilihanraya, dengan pelbagai spekulasi yang ada dan yang boleh diadakan. Kita kena faham, khabar angin bermula kerana ada orang yang memulakannya. Ia tidak muncul dengan sendirinya. Percayalah sebab suatu ketika dahulu saya sendiri pernak memulakannya dan akhirnya ada orang menyampaikan khabar angin tersebut kepada saya.

Berkenaan isu kes Mahkamah Anwar Ibrahim, sila tonton, senyum dan tidak perlu komen. Jika ingin komen juga sila mohon untuk menjadi pencelah semasa prosiding kepada Hakim. Itu lebih baik dan bernas. Boleh juga tolong Karpal Singh.

Banyak isu lain yang lebih mendesak dan perlukan perhatian dan dokongan masyarakat. Salah satunya ialah pemotongan bantuan ke Sekolah bagi membantu para pelajar miskin. Hak orang miskin jangan diambil, kita yang tidak layak menerima sedekah pula hendaklah membantu. Bukannya kita pula yang lebih – lebih memohon bantuan walaupun kita tidak layak.

Ditambah pula yang Sekolah – Sekolah kini perlu membayar bil air dan elektrik mereka sendiri. Kerajaan akan memberi peruntukkan dan jika tidak cukup, maka Sekolah kenalah cari duit sendiri untuk menampungnya. Bila tidak cukup nanti, maka andalah selaku ibu bapa yang akan menampung kurangan tersebut.

Tidak cukup dengan isu pemotongan ini, isu GST pun belum nampak sebarang kejelasan dalam perlaksanaannya kelak. Baiklah kita kaji , debatkan, serta bahaskan sekarang. Jika tidak jika telah dilaksanakan kelak semuanya sudah terlambat dan kita akan menyesal sendiri.

Isu – isu pembaziran yang diketengahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara nampaknya telah menjadi senyap dan sunyi. Sedangkan dengan jelas ditunjukkan pembaziran yang berlaku (jika ada salahlaku belum dibuktikan dan sehingga hari ini tiada siapa pun diheret ke muka pengadilan).

Ini belumlah lagi isu keruntuhan moral, pembuangan anak, penyelarasan harga minyak mulai Mei 2010 ini (tak jelas lagi apakah yang dimaksudkan), kos broadband yang mahal di Malaysia (sebenarnya slowband….), taraf hidup kita yang semakin merosot. Ini tidak termasuk isu pencemaran alam sekitar yang kita buat sendiri, taman permainan yang tiada permainan, dan lain – lain isu yang mendesak lagi.

Biarlah isu berkenaan politik kita tangani bila sampai masanya. Orang yang kononnya hebat berpolitik, sudah – sudahlah. Mari bantu meningkatkan masyarakat.

Bagi kes mahkamah Anwar Ibrahim, sila bertenang!

Jadi banyak isu lain lagi yang lebih penting dan utama!

Wednesday, September 2, 2009

Perlunya ahli politik serupa macam orang lain! Jangan pula jadi hantu bukan hantu, orang bukan orang!

Masyarakat hari ini tidak dapat menghubung kait cara serta corak hidup para pemimpin politik dengan apa yang mereka tempuhi hari – hari. Ini menjadikan kehidupan ahli politik yang semakin ramai jauh terpisah dari rakyat.

Walaupun begitu, rakyat mengerti bahawa ahli politik bukanlah jelmaan jin ataupun hantu raya serta hantu air. Tetapi akibat jurang yang semakin besar menyebabkan kehidupan ahli politik seolah – olah seperti “urban legend”. Lebih drama daripada benarnya! Lebih tipu dari betul. Tapi salahnya ialah ahli politik itu sendiri sebab cuai dan ada kemungkinan berfikir bahawa my private life is entirely mine. Wrong, when you are politician, your private life will become official!

Contoh sedia ada

Cuba kita lihat Tuan Guru Nik Aziz. Rumahnya dan kehidupan yang masyarakat nampak begitu sederhana. Malahan dikatakan, beliau hanya makan nasi kosong berlaukan telur mata kerbau yang digoreng oleh isterinya. Wahhhh ini sudah tentu akan menjadi legenda selepas ini.

Cuba kita lihat Tun Mahathir pula. Walaupun beliau menjadi Perdana Menteri untuk satu jangkamasa yang lama tetapi hubungan dengan masyarakat tetap ada. Beliau setiap Ramadan akan ke Pasar Ramadan Jalan Raja Alang untuk membeli juadah kesukaannya. Malahan setiap tahun beliau akan ke Pasar Rabu, Alor Star untuk mengambil songkok yang ditempahnya serta membeli kuih raya.

Mengapa? Sebab beliau mahu masyarakat tahu bahawa beliau adalah seperti mereka juga. Ada tempat kegemaran, juadah yang disukai, barang yang diminati serta keinginan untuk memilih. Bukannya semua dibuat oleh para pembantunya walaupun beliau mampu mengarahkannya sahaja. Dengan kata lain “I’m like you and I’m no ghost”.

Citra pemimpin politik sekarang

Tetapi bagaimana para pemimpin utama politik Malaysia hari ini. Dato’ Sri Najib telah mulai nampak bersama masyarakat, tetapi perlu dipertingkatkan. Masyarakat perlu tahu apakah aktiviti peribadinya yang seperti orang lain juga!

Tetapi bagi Tan Sri Muyiddin Yassin semuanya penuh misteri. Beliau perlulah membuka ruang peribadinya sedikit agar masyarakat lebih mengetahuinya.

Para Menteri serta ahli – ahli politik lain perlulah menampakkan diri di aktiviti masyarakat. Kena kurangkan sikit layanan first class. Cuba buat seperti Tun Dr. Mahathir sedikit. Bertemu rakyat dalam melaksanakan aktiviti bercorak peribadi. Biar rakyat nampak bahawa kita pun serupa mereka dan bukannya pelesit yang datang dari entah mana.

Akhirnya semua pemimpin politik akan kembali untuk dinilai oleh rakyat dan diundi. Jadi perlulah dibuat persediaan rapi dan satu darinya ialah rakyat telah sedia kenal kita. Bila telah kenal kuranglah sebarang unsur – unsur urban legend atau cerita – cerita terlebih garam + ajinomoto yang berlegar – legar.

Rakyat perlu tahu bahawa ahli politik adalah manusia seperti mereka dan bukannya jembalang tanah! Buat yang lain tak tahu, hanya ingin merasuk sahaja!

Fikirkan sejenak dan jangan pula jadi orang bukan orang, hantu bukan hantu!