Tinggi sungguh EGO bagi sebuah Negara bernama Malaysia. Ya begitu tinggi. Kini kita mahu membina satu lagi pencakar langit setinggi 100 tingkat bernilai lebih daripada RM1 billion. Malahan setelah adanya Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat X 2, masih tidak cukup untuk mengisi EGO yang sedia ada.
Kena ingat bahawa, Dubai juga begitu tinggi EGOnya, tetapi kini terkulai layu akibat krisis kewangan yang melanda.
Saya pasti masyarakat Malaysia tidak perlukan satu lagi pencakar langit yang begitu tinggi hanya untuk mengisi EGO. Kita sudah pasti mahukan kemudahan – kemudahan kesihatan, pendidikan, infastruktur yang lebih baik, jalur lebar kelajuan tinggi, jaminan keamanan, keselamatan dan lain – lain lagi.
Jika kita sebenarnya ada wang yang sebegitu banyak untuk membina pencakar langit bagi mengisi EGO, sewajarnya urusan – urusan berkaitan keperluan rakyat perlu lebih diutamakan dan disegerakan. Bukannya asyik berkata peruntukkan tidak cukup, bajet Negara defisit, kerajaan telah berbelanja banyak untuk subsidi, dan pelbagai madah – madah indah untuk mewajarkan tindakan Kerajaan.
Jika Kerajaan atau agensi – agensinya yang sedang berfikir – fikir melaksanakan aktiviti meningkat EGO, sewajarnya hentikanlah. Dengan lebihan wang yang sedia ada, adalah wajar dibelanjakan semula untuk kesejahteraan rakyat. Rakyat sekarang semakin rimas dan tertekan dengan taraf hidup yang tidak meningkat naik, cemas dengan keadaan yang tidak aman serta selamat, menerima pelbagai perkhidmatan yang serba lembap dan tidak membantu rakyat seperti jalur lebar yang lebih lambat dari kura – kura berjalan, tetapi harganya ala berstatus 5 bintang 3 suku.
Jadi, terimalah pandang rakyat!
Jangan nanti rakyat memberikan slogan baru, sebab kami tidak diutamakan, maka nyahlah kamu!
No comments:
Post a Comment