Sunday, May 31, 2009

Minda Dr. Maza - Islamkan politik, atau politikkan Islam? Sila timbangkan!

Islamkan politik, atau politikkan Islam?

Minda Dr. Maza

31 Mei 2009, Mingguan Malaysia

Saya sering bercakap tentang "Islamkan politik, jangan politikkan Islam". Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua-dua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerak kerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum Islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikannya.


Dalam erti kata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan. Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau 'cop halal' yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan. Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerak kerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam erti kata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.


Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah. Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh. Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya: "Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!.


Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya.

Kumpulan

Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata, "Kami ada sabda Nabi saw begini dan begitu". Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..." (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah. Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita.



Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira'un, Fir'aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya) Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: "Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami". Firaun menjawab: "Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?"



Nabi Musa berkata: "Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang Rasul-Nya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil. (Surah al-Syu'ara: 16-22). Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga Qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah. Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bah paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.


Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.


Mengongkong


Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.


Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka. Kata Abu Hurairah r.a: "Kami menyertai Rasulullah saw dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, "Dia dalam kalangan ahli neraka". Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah saw: "Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati". Jawab baginda: "Ke neraka". Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah saw, lantas baginda bersabda: "Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasul-Nya!". Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan "jiwa yang muslim" dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka Islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!

No comments: