Monday, June 29, 2009

Jangan ikut etika syaitan (Mingguan Malaysia, 28 Jun 2009)


Kita suka bila pandangan yang diberi berpihak kepada puak kita. Tetapi bila berpihak kepada puak yang lain, kita katakan pandang tersebut berat sebelah!


Ada keadaannya kita perlu melihat siapa yang memberi pandangan! Perkara yang benar atau yang batil adalah berbeza, jadi buka minda!


__________________________________________


Jangan ikut etika syaitan

(Mingguan Malaysia, 28 Jun 2009)


SEPERTI diduga, apabila Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA mengeluarkan kenyataan mengkritik gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam, beliau telah menerima kecaman yang hebat.


Pandangan Harussani tidak lagi dilihat sebagai pendapat seorang ulama yang harus dihormati tetapi beliau dikecam dan dituduh sebagai menyokong UMNO. Segalanya berlaku apabila Harussani menyuarakan kekesalan berikutan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas dan UMNO. Beliau diserang habis-habisan di dalam blog-blog tetapi beliau tidak peduli semua itu.


‘‘Saya bercakap yang hak (benar), dalam Islam mengeratkan silaturahim antara saudara Islam adalah wajib, jadi saya hairan daripada rujukan mana sesetengah pihak itu ambil sehingga sanggup mencela saudara seagama,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD ZIN di pejabatnya di Ipoh, Perak.


Walaupun sekali sekala dalam berhujah, Harussani menyelitkan kata-kata gurauan namun nada beliau sentiasa serius apabila menekankan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Bagi Harussani, masa depan golongan itu dalam semua bidang termasuklah politik akan berhadapan dengan bahaya, jika mereka terus berpecah belah.


Harussani juga kecewa kerana ada sesetengah ahli politik begitu mudah mengeluarkan hujah yang mengelirukan dan mencela sesama Islam. Oleh itu beliau mengingatkan dalam apa pun perkara berkaitan hubungan sesama Islam, jangan sesekali mengikut etika syaitan.


MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri berhubung kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan, yang sekali gus menggagalkan usaha untuk menyatukan umat Islam di dalam UMNO dan Pas?


HARUSSANI: Sebagai orang Islam kita berpegang kepada Rukun Iman dan salah satunya ialah percaya kepada Allah, yang bererti kita mengucap dua kalimah syahadah, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah kita masuk kumpulan muslim.


Apabila kita sudah masuk dalam kumpulan muslim, Allah sudah 'ikat' kita melalui firman-Nya dalam surat al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya."

Manakala Rasulullah SAW pula pernah bersabda bahawa, orang muslim itu adalah saudara bagi orang muslim yang lain, kemudian Nabi kata, siapa sebenarnya orang muslim itu, orang-orang muslim yang selamat daripada keburukan lidahnya dan keburukan tangannya. Maka itu Rasullullah sendiri dalam membentuk ajaran Islam baginda mempersaudarakan orang Islam.


Maknanya, itulah perjuangan utama kita iaitu mesti mempersaudarakan sesama orang Islam. Ia adalah perbuatan yang sebagaimana dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya bermaksud: … dan peliharalah hubungan silaturrahim… (an-Nisa': 1).

Oleh itu, kalau kita memecah belah orang Islam itu bukan ajaran Islam, itu ajaran syaitan. Tuhan sudah sebut bahawa syaitan itu bertujuan untuk membangkitkan di antara kamu permusuhan dan pergaduhan. Jadi pada saya, perpaduan itu adalah sesuatu yang cukup mustahak, perkara pokok yang wajib kita usahakan dalam apa bentuk pun. Berdasarkan kepada hujah itu, saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah satu idea yang cukup baik dan saya amat bersetuju dengan langkah tersebut.


Kalau kita lihat pada waktu ini, apabila orang Islam berpolitik, mereka berpecah sesama mereka. Ini berbeza dengan kaum lain, orang Cina contohnya, mereka pun berpolitik tetapi walaupun berada dalam parti yang berbeza-beza, mereka bersatu, ertinya mereka berpecah untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kita berpecah untuk menghilangkan sesuatu.

Mereka (orang Cina) berpecah supaya banyak suara atau banyak jurusan bagi membolehkan mereka menuntut sesuatu demi kepentingan bangsa mereka, begitu juga dengan kaum India, mereka berpecah supaya mereka mempunyai banyak jalan bagi menyuarakan tuntutan atau pandangan. Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Kita memaki hamun sesama kita dan berpatah arang, berkerat rotan. Ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk sekali. Ini bukan daripada etika Islam bahkan ia etika syaitan. Maka itu saya cukup kecewa apabila orang Islam sendiri menolak perpaduan dan lebih mementingkan perpaduan dengan bangsa asing daripada bersama orang Melayu.


Kita jangan lupa kedudukan Melayu dalam negara ini, hanya berapa peratus sahaja. Mungkin kalau kita bandingkan dari segi pecahan Islam dan bukan Islam, mungkin 50-50. Ia bermakna kalau kita berpecah suara kita menjadi minoriti, jadi bila kita hendak berjaya?

Dalam masa 18 tahun kebelakangan ini, ekonomi orang Melayu tidak bergerak, kaum Cina meningkat kepada 42 peratus, India (35 peratus), orang Melayu sudah 18 tahun tidak meningkat. Dalam 18 tahun itu juga, orang India yang sebelum ini berada di bawah orang Melayu kini naik mengatasi orang Melayu, kaum Cina yang sudah tinggi, kini melonjak, orang Melayu ketinggalan di belakang. Oleh itu, kalau kita berpecah lagi, keadaan umat Islam akan menjadi bertambah buruk. Allah sudah menyatakan perkara ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang mengingatkan kita bahawa jangan kamu berpecah, kamu akan gagal dalam hidup ini. Akan hilang wibawa kamu dalam masyarakat. Itu Tuhan sudah sebut terang-terang, kenapa kita memilih jalan perpecahan, ini yang saya paling kecewa.


Tetapi Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa pernah ditipu suatu ketika dahulu, apakah ini wajar?

HARUSSANI: Tak kan kerana perkara itu, ia tidak boleh dimaafkan? Kalau itu satu pengalaman tidak bolehkah kita baikinya supaya tidak berulang? Kita sudah ada perjanjian bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi. Anak kita pun kadang-kadang buat salah dengan kita tetapi kenapa kita boleh makan bersama semula dan boleh beri nasihat? Allah pun menyeru memohon keampunan kepada-Nya dan menyuruh kita bermaaf-maafan.


Jadi tak kanlah hanya kerana satu peristiwa itu, kita hendak menjadikan sandaran, apakah kita hendak hancur? Ini yang menjadi masalah. Atau kita hendak pakai juga pepatah, biar papa asal bergaya? Maknanya kita jadi hero tetapi kita kalah, kita kecundang, apa gunanya semua itu.

Saya tidak peduli, apa pun orang nak tuduh bila saya bercakap macam ini. Di Kuala Lumpur, orang-orang muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Mufti Perak sudah masuk UMNO, saya tidak pernah masuk mana-mana parti , UMNO pun tak suka saya.

Kalau UMNO tidak betul, UMNO saya 'bantai', kalau raja tak betul, raja saya 'hentam' saya nak kisah apa. Malah suatu masa dulu, Suharto ketika minum bersama saya, bila dia cakap tak betul dari segi hukum berkaitan faedah (bunga) bank, saya tegur. Pada hal seluruh ulama Indonesia sentiasa menyokong apa sahaja yang beliau kata, tetapi saya tidak.


Masalahnya apabila seseorang bertaraf Mursyidul Am dalam Pas bercakap, orang lebih mempercayai kata-katanya biarpun dia mengecam sesama Islam.

HARUSSANI: Kita pun tidak menafikan perangai pemimpin UMNO dahulu, sombong dan berlagak, tetapi sekarang sudah ada kesedaran berhubung kesilapan yang dilakukan. Tetapi kalau kita masih dengan hujah masing-masing, itulah masalahnya. Kita sudah tengok kaum India yang merupakan kelompok kecil sudah mempunyai suara yang cukup kuat tetapi kita semakin lemah kerana berpecah.


Bagaimanakah kita hendak satukan orang Melayu, kalau penyokong parti masing-masing terus mengamalkan politik sempit?

HARUSSANI: Kita lupakan soal politik, kita balik kepada agama kita, balik kepada Tuhan kerana Islam menyuruh kita bersatu kerana kita bersaudara sesama Islam, haram memutuskan silaturahim. Kembalilah kepada ajaran Islam jangan terlalu banyak politiking.


Kita berpolitik dengan tujuan mentadbir negara sahaja, bukan untuk berkelahi sesama kita, tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang apabila orang Melayu kita masuk politik mereka menjadi taksub. Apabila bersikap demikian maknanya orang lain tak betul dia sahaja yang betul.

Contohnya, krisis politik di Perak, apabila pakatan pembangkang membawa kes itu ke mahkamah, pada mulanya mereka menang, mereka seronok. Kemudian apabila UMNO membuat rayuan dan menang, mereka (pakatan pembangkang) kata ini tidak boleh, ini tidak betul. Persoalannya apakah (keputusan) yang dahulu betul? Tak kan dulu seorang hakim dan sekarang tiga hakim, tiga yang buat salah. Kemudian buat rayuan kepada Mahkamah Agung, lima hakim yang bersidang membuat keputusan yang sama, jadi tak kan kita tidak mahu terima, tak kanlah hakim-hakim itu berat sebelah.

Oleh itu, saya tidak boleh terima tindakan pembangkang tetapi bila saya cakap macam ini mereka kata saya anti Pas, bila keluar kenyataan saya dukacita kerana kerajaan perpaduan gagal, mereka kata patutlah dapat (dianugerah) Tan Sri, sedangkan saya tak tahu fasal 'Tan Sri'.


Sebelum ini saya berada di Mekah, balik sahaja ada surat suruh terima, bukan UMNO yang beri tetapi Yang di-Pertuan Agong.


Ada pihak mengkritik meminta Tan Sri jangan campur urusan politik, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Saya cuba melihat perjalanan politik mereka dan saya lihat ia tidak betul dari segi syarak, itu yang saya tegur. Begitu juga bila UMNO bersikap tidak adil atau sombong, saya akan tegur. Dalam soal Pas, saya pun tahu sikit-sikit fasal hukum Islam, oleh itu apabila apabila saya melihat tindakan mereka menyeleweng daripada hukum syarak, itu saya tegurlah. Tak kanlah kerana itu pun nak suruh saya masuk UMNO.


Memang saya tidak tahu politik, kalau nak suruh cakap fasal politik, saya tak tahu, suruh cakap fasal ekonomi, saya bukan ahli ekonomi. Sebab itulah kebanyakan ustaz-ustaz yang menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), apabila orang bahas ekonomi, dia tidak boleh bercakap. Golongan ustaz-ustaz ini hanya tahu soal dakwah, tidak tahu fasal politik. Kita perlu faham politik ini harus tahu semuanya.

Sebab itu saya tidak mahu terlibat dalam politik, kalau mahu dah lama saya boleh berbuat demikian. Saya fikir kalau saya jadi ahli Parlimen atau ADUN, jika orang bercakap perkara saya tak tahu, buat apa. Kita tengok dalam Parlimen, apabila bercakap soal agama Islam ia lebih banyak menyentuh soal zakat, wakaf dan urusan pejabat agama, itu sahajakah? Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan, begitu juga ahli UMNO, kalau soal Islam tanya fasal berapa kutipan zakat, sepatutnya tak perlu tanya, itu kita punya.


Adakah dalam soal perpecahan umat Islam ini, para alim ulama harus campur tangan?

HARUSSANI: Selamanya kita sudah memainkan peranan, tiap kali bersyarah saya akan membangkitkan soal perpaduan, soal silaturahim, saya bangkit soal etika permasyarakatan, jangan lupa hukum bermasyarakat kerana kalau kita lupa dan buat silap sikit kita boleh menjadi fasiq, tapi siapa yang peduli?


Ketika memberikan tazkirah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, semalam (Khamis) saya bercakap sedikit sahaja mengenai sembahyang. Saya tidak kupas berapa rakaat sembahyang, saya tekankan soal firman Allah bahawa sembahyang itu mencegah kamu daripada perbuatan keji dan mungkar. Bila kita sembahyang, pejamkan mata dan cuba lakukan pembetulan dalam diri, apakah kita mempunyai sifat-sifat seperti ego, takbur, sombong, marah, mengumpat orang dengki atau khianat kepada orang lain. Kalau ada sifat itu masa sembahyang kena buang, kalau ada sifat itu ketika sembahyang, maka sembahyang kita tidak terpakai, ini Allah tegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud; Celaka bagi orang yang sembahyang tetapi lari daripada hikmah sembahyang itu sendiri. (al-Maa'uun: 4-5)

Itu semua harus dihapuskan, bila sembahyang lahirlah dia sebagai insan Rabbani. Bila kita tidak ada sifat-sifat tak baik itu, kalau dia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang adil, pemimpin yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan jujur. Kalau dia seorang bapa dia seorang bapa yang bertanggungjawab, kalau suami dia akan berikan hak kepada isteri dengan sebaik-baiknya, kalau dia isteri dia akan menjaga suami dan anaknya.


Adakah kuasa yang menjadi penyebab atau faktor yang tersirat di sebalik yang tersurat menjadi punca keengganan menjayakan kerajaan perpaduan ini?

HARUSSANI: Jika kuasa menjadi matlamat sampai bila-bila pun perpaduan umat Islam tidak akan dapat dicapai dan pelaksanaan kerajaan perpaduan tidak mampu dilakukan. Sepatutnya, kuasa politik yang kita ada itu digunakan untuk mencapai perpaduan, keadilan dan persaudaraan.


Sebab itulah orang Arab tidak boleh menang melawan Israel. Begitu juga apabila setiap negara mengatakan ia lebih kuat daripada yang lain. Contohnya, Libya dan Mesir, sudah beberapa kali mereka berpecah akibat perbezaan politik. Ia berlaku kerana masing-masing merasakan mereka lebih berkuasa, ini masalahnya.

Kalau kuasa itu menjadi matlamat, maka kita tidak akan berjaya tetapi kalau matlamat kita adalah untuk melahirkan kedamaian, persaudaraan dan keadilan itu maka ia akan berjaya.

Dalam soal ini, kedua-dua parti terlibat, UMNO pun kalau mereka melihat kepada kuasa sahaja, ia tak kan ke mana, saya bukan nak kata kepada Pas sahaja.


Kalau persengketaan ini berterusan apa yang berlaku kepada orang Islam?

HARUSSANI: Jika ini dibiarkan berterusan, orang Islam akan hancur. Bila berpecah, kita akan jadi lemah dan hilang wibawa termasuk kuasa politik. Jika ini berlaku, hancurlah kita, ini yang saya lihat.


Ada bertanya kenapa saya berani bercakap, Saya hanya bercakap yang hak (benar), apa hendak jadi, jadilah. Politik tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi bagi mendapatkan matlamat iaitu kuasa, kalau itu tujuannya habislah orang Melayu dan Islam.

Apa yang paling merisaukan ialah keyakinan orang kepada individu bertaraf ulama, akibatnya apa sahaja dia cakap orang akan percaya, biarpun ia boleh memberi kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam, apa komen Tan Sri?


HARUSSANI: Rasulullah pernah mengingatkan takutlah kamu kepada penyelewengan ulama kerana dia mempunyai pengaruh. Tetapi kita sama-sama Islam dan berilmu kita boleh timbang sendiri, jangan kita taksub tak tentu fasal, lepas itu kita gelar orang macam-macam, dari segi syarak itu haram.

Firman Allah: Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik daripada yang mencela dan janganlah para wanita mencela wanita yang lain, boleh jadi wanita-wanita itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mencela dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk-buruk… (al-Hurujat: 11).


Tetapi apa yang kita lihat ada panggil orang komunis, ayah pin, ini apa? Tambahan pula yang dengar itu pula orang tak tahu. Contohnya seorang doktor bila dia bagi ubat orang percaya, tok bomoh cerita fasal penyakit barah orang terus percaya sebab dia tok bomoh. Pada hal dia pun tak tahu apa-apa.

Islam menerima perbezaan pendapat. Malah al-Quran dalam surah an-Nisa' ayat 59 menjelaskan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat. Soalnya, mengapa terdapat parti-parti politik yang terlibat tidak mahu mentaatinya?


HARUSSANI: Dalam ayat itu Allah berfirman yang maksud-Nya, Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita patuh kepada arahan Allah. Kita juga wajib patuh kepada pemerintah selagi mana tidak diarahkan membuat maksiat. Kalau tidak taat, maka kita durhaka. Sekali pun jika pemimpin itu zalim.


Rasulullah SAW bersabda: Bantulah saudaramu baik yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Baginda ditanya, Kalau yang dizalim kami boleh menolong tetapi bagaimana dengan yang menzalimi wahai Rasulullah? Baginda menjawab, kamu pegang kedua tangannya atau kamu cegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya.

Sepatutnya hubungan sesama Muslim itu penuh dengan kasih sayang bukannya menyemai sikap benci membenci atau keras. Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)


Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh… janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan dan janganlah kamu saling menipu… jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."

Kesimpulannya, bagaimana kita hendak selesaikan kemelut ini?


HARUSSANI: Kalau ulama perlu ambil peranan untuk selesaikannya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Asas utama yang perlu adalah perpaduan, silaturahim dan hormat-menghormati. Perseteruan, pecah belah dan persengketaan adalah ajaran syaitan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).


Tuesday, June 23, 2009

Telah Berubahkah UMNO? ENTAH

Setiap hari sejak PRU 12 tahun lepas, UMNO giat mewarwarkan bahawa mereka boleh dan akan berubah. Tetapi benarkan mereka telah berubah?

Selain daripada bertukar kepimpinan, UMNO masih UMNO yang sama. Mengapa:-

a. Dasar yang dipelopori oleh UMNO masih sama. 1 Malaysia merupakan rangkuman dasar - dasar Malaysia sedia ada. Maka tidak ada dasar yang baru. Yang ada hanya pendekatan yang berbeza. Tetapi pendekatan tersebut belum nampak dengan jelas di mata rakyat terbanyak. Yang lebih nampak ialah dasar kelam kabut kerajaan. Sebut dahulu tanpa hujung pangkal dan kemudiannya terpaksa menjadi "ahli bomba" untuk memadamkan yang mana perlu.

b. Para pemimpin UMNO masih yang sama. Yang bercakap dihadapan serta yang berperanan masih yang tu jugaklah. Dimana para pemimpin muda UMNO seperti YB Razali Ibrahim, Dato' Saifuddin dll dengan gagasan mereka. Belumlah nampak lagi. Yang masih kerap bercakap di TV masih "warlord" lama UMNO. Bagilah peluang pada "warlord" baru seperti YB Ahmad Maslan pula. Masyarakat muda Malaysia perlu melihat pemimpin muda UMNO agar keyakinan kepada parti semakin bertambah. Kalau balik - balik Dato' Seri Shahidan Kassim dll, alamak buang karan aje.

c. Perpecahan dikalangan UMNO merupakan berita biasa yang basi setiap hari. Menjadi rahsia umum perpecahan di UMNO Terengganu dan Selangor. Malahan dikhabarkan bahawa Dato' Seri Khir Toyo sekerang telah hilang rakan - rakan politik dalam UMNO. Betul atau tidak saya tidak pasti. Tetapi perpecahan para pemimpin UMNO telah berlaku begitu lama dan boleh memecah belahkan parti. Lihat PAS. Dalam sekejap masa sahaja perbalahan para pemimpin mereka akibat isu Kerajaan Perpaduan dapat diselesaikan. Tuan Guru Nik Aziz telah berbaik - baik semula dengan YB Nasaruddin, setelah mereka berselisih faham akibat idea tersebut. Keluar gambar - gambar mereka yang saling maaf memaafi. Besar sungguh jiwa para pemimpin PAS ini. UMNO belumlah lagi kita tengok.

d. Mood rakyat dan amarah mereka pada UMNO / BN masih kuat. Isu Perak masih berbekas. Penciptaan kekayaan berlebihan para pemimpin UMNO masih menjadi buah mulut masyarakat. Tiadanya bantuan para pemimpin UMNO dalam kehidupan harian mereka turut diperkatakan. Ini diburukkan lagi dengan sistem penyampaian jabatan - jabatan tertentu Kerajaan yang amah lemah. Yang diburukkan ialah Menteri yang berkaitan.

e. Spin doctor baru dikeliling Presiden UMNO / Perdana Menteri kena menulis skrip baru. Rakyat mengagumi Tun Razak. Tetapi Dato' Seri Najib bukan Tun Razak. Keduanya insan berbeza walau DNAnya sama. Tak perlulah kita semua dihidangkan bahawa dahulu kawasan ini dilawati oleh Tun Razak, kini anaknya berbuat yang sama. Mentadbir negara bukan seperti membaca buku sejarah. Ya sejarah penting untuk kita memahami pelbagai isu. Tetapi tidak perlulah dihidangkan suatu sejarah yang sama dengan berlebih - lebihan. Rakyat hendak tahu ke mana arah yang bakal dibawa oleh Dato' Seri Najib. Rakyat masih mencarinya. Jika tidak terjumpa, mereka akan cari pemimpin lain yang telah menampakkan taringnya dan haluan baru.

Jadi apa sebenarnya yang baru??????

Saya pun dah tak pasti.

Thursday, June 18, 2009

Pandangan berkenaan Kerajaan Perpaduan UMNO / PAS. Gayanya macam tak jadi? Mengapa?

Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada PAS – UMNO dalam konteks Kerajaan Perpaduan???? atau dalam definisi yang pelbagai tetapi membawa kepada maksud yang sama.

Seolah – olahnya tarik tali yang sedang berlaku ini begitu hebat dengan arus yang bergelora sekali. Jangan PAS kena Tsunami dan PAS perlulah berwaspada!

Nampaknya arus yang menentang gagasan Kerajaan Perpaduan didokong sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Seri Hj Nik Aziz Nik Mat. Kenapa:

Saya nampak ada beberapa faktor yang kemungkinannya meningkatkan ketidak percayaan tersebut.

Satunya dari aspek personaliti – personaliti yang terlibat. Walaupun mungkinnya secara peribadinya Tuan Guru Nik Aziz tiada masalah dengan Dato’ Seri Najib, tetapi beliau mungkin bermasalah secara konsep berpolitik dengan Dato’ Seri Najib. Tambahan pula, isu – isu yang berlegar sekeliling Dato’ Seri Najib terus mewarnainya tanpa ada jawapan yang konkrit. Nilai kepercayaan inilah yang perlu ditingkatkan oleh Dato’ Seri Najib jika beliau sendiri benar – benar ingin berbincang secara serius dengan PAS. Betul idea asalnya dari PAS tetapi UMNO haruslah memperlihatkan mereka bersedia.

Kenapa pada masa Pak Lah pertemuan atau perbincangan dapat berlaku dengan aman tanpa banyak hooo hahahahaah seperti sekarang ini.

Sebenarnya, nilai – nilai serta apa yang berada di lubuk hati Dato’ Seri Najib tidak pernah dimaklumi oleah masyarakat terbanyak. Beliau sedikit sebanyak penuh enigma. Orang seperti ini akan terus terbelenggu. Eloklah Dato’ Seri Najib clarify jika ada apa – apa isu / maklumat yang wajar dikongsi bersama.

Keduanya, golongan muda PAS sendiri tidak beberapa menerima idea yang diutarakan berkenaan Kerajaan Perpaduan ini. Saya berpendapat kerana jika perbincangan ini berlaku, PAS harus bertemu dengan “Old Guard” UMNO. UMNO sejak PRU 12 telah gagal menonjolkan pemimpin – pemimpin muda yang sama bagus, sama hebat dari pelbagai segi dengan PAS.

Ramai dari kita boleh menamakan pemimpin – pemimpin muda PAS dan tahu berkenaan latar belakang mereka seperti Salahuddin Ayub, Dr. Mujahid Yusof, Dato’ Seri Nizar. Tetapi siapakan pemimpin – pemimpin muda UMNO yang akan mewarisi perjuangan UMNO selain dari YB Khairy Jamaluddin. Siapa??????????????????? Tentu jawapannya ramai yang tidak tahu dan nampak siapa.

Pemimpin – pemimpin muda dalam UMNO ini perlu diketengahkan kerana mereka inilah yang akan untung atau rugi hasil dari perbincangan Kerajaan Perpaduan ini. Tetapi jika pemimpin – pemimpin PAS hendak berbincang atau berhadapan dengan “Old Guard” UMNO mereka ini tidaklah beberapa yakin akibat dari pelbagai faktor yang telah menjadi rahsia umum.

Jadi dimanakan para pemimpin muda UMNO seperti Dato’ Saifuddin Abdullah, Dato’ Ahmad Masalan, dlll selain YB Khairy Jamaluddin. Ehhhh siapa lagi pemimpin muda UMNO? Orang tidak tahu, silalah UMNO memperkenalkan mereka. Rakyat serta PAS ingin tahu siapa mereka ini semua. Jika ditakdirkan UMNO terus memerintah adalah amat penting agar pemimpin muda ini diketengahkan sekarang!

Ketiganya kita boleh melihat dari sudut pergeseran dasar. Dasar – dasar UMNO selama ini begitu banyak menindas PAS. Jadi UMNO kenalah memperlihatkan bahawa mereka akan mengamalkan dasar – dasar baru yang lebih terbuka, rasional serta matang. UMNO bolehlah memperlihatkannya dengan perhubungan baru dengan kerajaan PAS Kedah & Kelantan. Mungkin selepas ini barulah sedikit sebanyak ketegangan dan pergeseran mengenai dasar ini akan berkurangan dan dapat memberikan muafakat kepada kedua – dua pihak.

Ini dapat jelas dilihat melalui sentimen atau ayat seperti yang di katakan oleh Ketua Pemuda PAS yang baru bahawa “Kita anggap perbincangan ini seperti Musa bertemu Firaun”. Siapa Musa, siapa Firaun, buatlah telahan sendiri!

Keempatnya, dari kacamata PAS, UMNO sedang nazak. Ini merupakan psy - war PAS dan Pakatan Pembangkang bahawa UMNO sedang nazak dan menerima tekanan di dalam pakatan BN itu sendiri.

Malahan para pemimpin PAS seperti YB Dr. Mujahid Yusof terang – terangan menganggap UMNO nazak. Cuma UMNO aje buat – buat tak dengar. Buat apa nak bergabung dengan orang yang nazak. Jadi UMNO kenalah tunjukkan bahawa mereka sebenarnya masih hebat dan berkuasa. Cuma saya tak pasti bagaimana? Kerana secara realitinya, UMNO sekarang terkepung diperingkat akar umbi. Sekian banyak isu yang timbul tidak dapat dijelaskan dengan betul kepada ahli – ahlinya dan rakyat kebanyakkan.

Jadi kempat – empat fakta ini sedang berada dihadapan mata kepala para pemimpin UMNO / PAS. Buatlah keputusan dan berlapang dada. UMNO kena melihat kekuatannya semula untuk leverage semula posisi politiknya.

Wednesday, June 17, 2009

VVIP atau VIP! Pertimbangkan rakyat dahulu!

Orang Malaysia ini boleh dikatakan agak melampau reaksinya terutama jika bergelar “VIP”. Malahan saya ingat hanya di Malaysia sahaja ada satu kategori yang statusnya hebat (serta mungkin syok sendiri) iaitu “VVIP”. Jika kita dilihat dipelbagai majlis rasmi di tanah air kita, sebagai contoh: “VVIP”nya ada 12 orang, tetapi “VIP”nya pulak ada 150 orang. Puhhhhh semuanya mahu bertaraf “VIP” disini, bertaraf “Guest” bagi ke majlis – majlis, ramai yang agak keberatan kerana tidak dilayan. Sepatutnya yang bertaraf “VIP” tidak lebih 12 orang dan selebihnya bertaraf “Guest” sudah memadai. Status bergelar “VVIP” ini tidak ada dan tidak perlu untuk diwujudkan.

Jika dijalan – jalan raya pulak, “VVIP” ini (statusnya dia beri sendiri) asyik nakkan kemudahan “outrider” sehingga aksi mereka ini menganggu pengguna jalan yang lain. Jika mereka ini bertaraf Yang Dipertua Agong, Sultan / Gabenor, PM atau Timbalannya, saya yakin tidak ada masalah. Tetapi jika semua Menteri, Ketua – Ketua tertentu di Jabatan – Jabatan tertentu pun mahukan “outrider” maka kesesakkan jalan raya terutama di Kuala Lumpur ini akan lebih parah.

Janganlah dibibir mulut menyatakan faham akan masalah rakyat tetapi bersikap mementingkan diri sendiri!. Jika perlu ke sesuatu lokasi dengan lebih cepat, silalah keluar awal. Janganlah mencari jalan mudah dengan penggunaan “outrider” pada waktu puncak. Sebabnya jalan yang sedia sesak tidak boleh lagi dibelah ke kiri ataupun ke kanan.

Saya ingat sudah sampai masanya semua yang merasa dirinya “VVIP” atau “VIP” merancang masa perjalanan mereka dengan lebih baik. Rakyat bersesak setiap hari dijalan raya dan tidaklah kami mahu kesesakkan ini ditambah dengan perjalanan memotong menggunakan “outrider” oleh “VVIP” atau “VIP”. Jangan hanya berkata kami faham masalah rakyat tetapi tindakannya berbeza sekali.

Harap para pemimpin politik yang dari mulutnya yang asyik keluar “Kami Faham Masalah Rakyat” sedar dan berubah. Kepimpinan perlu menjadi contoh dan bukannya menambah beban kepada rakyat.

Monday, June 15, 2009

Nasihat Untuk YAB Dato' Seri Nizar! Beliau masih dianggap Menteri Besar Perak yang sah! Jangan dipersia - siakan!

Tindakan Dato' Seri Nizar di Dewan Rakyat hari ini sedikit keterlaluan. Betul kita ingin mempertahankan prinsip yang ada tetapi biarlah dalam keadaan / suasana yang bersesuaian.

Kita sebenarnya ingin melihat suasana perbahasan / perdebatan / memberi pandangan politik yang terarah ala Amerika Syarikat. Kita hendak melihat wakil rakyat kita senyum dalam menerima kritikan / pandangan membina.

Tetapi tindakan Dato' Seri Nizar hari ini amat tidak betul. Diharap beliau berfikir dengan waras dalam sebarang tindankan yang bakal dibuat dimasa hadapan.

Sehingga kini, masyarakat ramai melihat beliau sebagai pejuang ke arah kebenaran! Tetapi janganlah menjadi terlampau melampau! Jangan kelak rakyat benci atau muak melihat tindak tanduknya kelak.

Mari kita bertindak dalam cara yang sihat. Aktviti menjerit, tumbuk meja, mengamuk tiba - tiba atau melompat seperti kera tidak cocok dengan kita semua. Kononnya hendak bergerak ke arah parlimen Kelas Dunia.

Bersedia berubah tetapi biarlah dengan penuh membina.

Monday, June 8, 2009

Untuk Menteri Pelajaran - Kajilah dahulu sesuatu Dasar sebelum laksana!

Terkejut Beruk saya dalam 2 - 3 hari ni bila membaca kenyataan Menteri Pelajaran berkenaan menjadikan dasar agar Bahasa Inggeris mesti lulus (dengan kepujian?) diperingkat SPM sebelum layak mendapat Sijil penuh.

Banyak kali telah ditekankan bahawa jika Kerajaan ingin membuat dasar baru ialah perlulah dikaji sedalam - dalamnya terlebih dahulu. Bukannya kita sibuk menembak angin dengan harapan semua orang akan faham. Yang penting dihebahkan ialah Kerajaan sedang menilai dan mengkaji persoalan ini. Tetapi berita - berita yang keluar seolah - olah Kerajaan sudah pasti akan melaksanakannya.

Whai Menteri Pelajaran, tolong buat kajian sedalam - dalamnya dan bukan bersifat telur separuh masak. Bila sesuatu dasar dibuat semua aspek perlu diambil kita. Bagus bila Menteri Pelajaran meminta pandangan pelbagai pihak diberikan ke Kementerian. tetapi yang tidak bagusnya ayat - ayat yang keluar dari mulut Menteri Pelajaran seolah - olah ia pasti jadi. Kalau begitu mengapa perlu pandangan pelbagai pihak.

Janganlah pura - pura terkejut beruk kerana pelajar tidak diajar lagi English Grammar di Sekolah. Baru minggu lepas, beliau merasmikan suatu program di Victoria Institution iaitu sekolah anaknya. Takkan tak tahu atau memnag tak ambil tahu pelajaran apa yang anak beliau belajar.

Jadi Menteri Pelajaran bila nak bersuara pandanglah elok - elok. Masyarakat kini amat pandai menilai dan bukannya hanya menunggu suapan maklumat kerajaan sahaja.

Sebelum Menteri Pelajaran membuat keputusan berkenaan mewajibkan lulus (dengan kepujian?) bagi melayakkan lulus SPM, sila buat keputusan berkenaan PPMSI dahulu.

Ini yang lebih penting. Jika berkenaan PPMSI pun tak dapat diselesaikan dengan baik, tangguhlah dulu apa - apa dasar mee segera yang tiba - tiba muncul.

Saya menyokong PPMSI!

Terima kasih.

Menteri Pelajaran jangan jadi Menteri Tak Cukup Pelajaran.

Friday, June 5, 2009

PAS kini didalam persimpangan dilema!

Pertama – tamanya Ahlan Wa Sahlan kepada semua ahli PAS ke arena politik penuh “complicated” yang penuh jerangkap samar dimana – mana sekalipun.

PAS kini berada di dalam dilema berkenaan persoalan bagaimana untuk bergerak ke hadapan. Jangan salah faham! PAS sememangnya telah bergerak amat maju ke hadapan akibat pilihanraya ke 12.

Tahniah kepada PAS kerana sehingga saat ini telah berjaya menunjukkan bahawa mereka telah berjaya melahirkan golongan pemimpin masyarakat / rakyat yang begitu profesional dan majoritinya amatlah lebih baik dari para pemimpin UMNO!

Namun begitu, PAS menghadapi persimpangan dilema. Mahu ke mana? Keenakan kuasa telah mampu dirasai. Sedap rupanya. UMNO / BN terencat serta hampir punah ranah akibatnya. UMNO / BN lagi dilema sebenarnya. Hanya sebahagian yang ingin merubah, namun sebahagian besarnya ingin agar UMNO / BN seperti dahulu. Sikap seperti dahululah yang meranapkan UMNO / BN.

PAS janganlan mengeji UMNO terutamanya dengan hina sekali. Kerana Tuan Guru Nik Aziz adalah berkata “Jika perlu berkawan dengan syaitan untuk berkuasa, maka terpaksalah dibuat”. Ini merupakan sifat politik yang jelas menjadi ikutan PAS. PAS jangan lupa bahawa DAP terutamanya para pemimpin veterannya tidak senang dengan Islam sedikit sebanyak. Malahan majoriti dari mereka ini merupakan penganut ajaran Nasrani yang tegar.

Jadi PAS nak pilih yang mana? Itu terpulanglah pada PAS. Tetapi janganlah hanya sebab kuasa yang telah terbayang dihadapan mata maka UMNO dikeji dengan sesungguhnya. UMNO majoritinya ISLAM. Mungkin fahaman falsafah keislamannya berbeza. Iaitu ekonomi mesti dikuatkan, barulah agama dan institusi lain kuat. Berbanding dengan PAS yang mahu agama kuat dahulu, barulah yang lain akan kuat jua.

Inilah perbezaannya akarnya. Tunjangnya sama iaitu ISLAM!.

PAS parti yang kuat sebenarnya dan kini dilihat sebagai bakal menggantikan UMNO. Tetapi jangan pula lupa, UMNO hampir hancur selepas 50 tahun!

Jangan akibat seronoknya berkuasa maka PAS akan jatuh dengan lebih cepat lagi. Kita boleh kata macam – macam sehinggalah kita diuji. Semasa Perang Uhud berapa ramai yang tewas dengan ujian Allah dengan emas permata!

Terpulanglah kepada PAS!

Buatlah pilihanan yang tepat, bersabar dan berdoa! Sebab PAS selalunya suruh orang lain buat begitu. Harap mereka pratikkan juga.

Wednesday, June 3, 2009

Persoalan berkenaan Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh tempohari

Sebagaimana berita – berita yang tertera, didapati sumber – sumber berita yang keluar di media massa benar – benar berkecamuk. Malah dilihat olah – olah tiada koordinasi di antaranya. Yang nampak dengan jelas hanya usaha untuk memastikan bahawa Jabatan lainlah yang sebenarnya bersalah dan bertanggungjawab. Tetapi bila menerima pujian dan bangga – banggaan, maka Menteri Besar atau Menteri terbabitlah yang akan menerimanya.

Inilah sebenarnya kelemahan Kerajaan yang ketara dan dibenci oleh rakyat terbanyak!

Mula Menteri Besar Terengganu kite kata akan diperiksa siapa yang bertanggungjawab samada kontraktor atau kelemahan kawal selia oleh agensi – agensi terbabit.

Menteri Kerja Raya pulak kata ia membawa malu kepada industri pembinaan Malaysia!.

Lepas tu, lawatan Menteri Belia & Sukan dan keluarlah pulak bunyi bahawa Kementerian beliau tiada kuasa khusus untuk mengawal. Beliau mahukan kuasa pengawalan. Jadi kalau tiada kuasa, sebagai ahli kepada cabinet Kerajaan yang memerintah, buatlah kertas kerja untuk meminta kuasa tersebut. Bukannya hanya bercerita seolah – olah beliau & Kementeriannya lemah sekali. Sedangkan beliau ialah ahli Kabinet kepada Kerajaan yang memerintah & bukannya ahli Kabinet kepada Kerajaan – Kerajaan Negeri yang berpaksikan Pakatan Rakyat. Apalah……………….

Hari ini pulak, keluar cerita bahawa JKR memaklumkan Bumbung Stadium tersebelum belum ada Sijil Tamat Kerja. Malahan masih dalam tempoh jaminan. Dalam tempoh jaminan tu normal bagi penggantikan kerosakan bukannya runtuh!

Menteri Besar Terengganu pulak berkata kelemahan struktur bumbung telah lama dimaklumkan tetapi tindakan oleh JKR agak lambat.

Aduh…. usaha menuding jari tampak sedang berleluasa.

Kerajaan seharusnya:

Tidak banyak mengeluarkan pelbagai kenyataan tanpa asas, baik dari Menteri Besar, Menteri – Menteri ataupun JKR.

Selepas kejadian, sepatutnya satu agensi sahaja yang mengeluarkan apa – apa kenyataan berkaitan. Itupun haruslah menjurus apa tindakan selanjutnya. Kalau hanya mahu salah menyalah, baik tak payah!

Yang penting ialah koordinasi! Bukannya berkata – kata tanpa pertimbangan.

Rakyat ingin melihat Kerajaan yang in control walaupun menerima asakkan politik bertubi – tubi. Jika Nampak kelemahan ketara menunjukkan Kerajaan sedang lemas kerana asakkan – asakkan tersebut.

Kerajaan yang sedia ada telah memerintah begitu lama tetapi persoalan asas – asas keselamatan tetapi menjadi pertikaian!

Kalau tak tahu bagi sayalah buat!!!!! Senang!!!!! Sebab saya tahu apa yang perlu dilakukan!!!!!

Jumpa dipilihanraya akan datang!