Thursday, July 30, 2009

Kritik / Pandangan berkenaan Jenama Islam pada produk - produk Perbankan




Penggunaan jenama Islam pada produk – produk perbankan serta perkhidmatan wajar dinilai semula dan diperhalusi kembali!

Kini jenama Islam diletakkan pada Bank, Kad Kredit, produk – produk pembiayaian, instrument – instrument kewangan seperti Sukuk, dan sebagainya lagi. Malahan Bank – Bank asing seperti Citibank telah menyatakan hasrat untuk meluaskan perbankan Islam di Malaysia serta Asia.

Bagus, mungkin?! Ya?!

Sebabnya ia meluaskan Islam dalam konteks kehidupan duniawi dan memberikan kefahaman baru terhadap agama suci ini. Namun begitu, keuntungan yang diambil dari produk – produk tersebut kadang kala terlampau mahal dari faedah yang dikenakan oleh produk – produk konvensional.

Malahan YB Ustaz Haji Hadi Awang, Presiden PAS telahpun menyatakan bahawa perlunya ada timbang rasa di antara peminjam dan bank. Tetapi perbankan Islam di Malaysia tidaklah menunjukkan adanya timbang rasa tersebut.

Keuntungan yang diambil berlipat ganda, perkhidmatan yang diberikan pula seperti melepaskan batuk ditangga. Yang malu serta tercemar ialah Islam itu sendiri.

Jika ditanya kenapa mahal berbanding kos serta caj – caj lain perbankan konvensional? Jawapannya mudah iaitu kerana kami baru dan perlulah sokongan kewangan yang lebih maka terpaksalah ia lebih mahal dari yang perbankan konvensional. Lagi sekali nama Islam digunakan sewenang – wenangnya.

Akibat kegagalan bank itu sendiri untuk mengurangkan kos dan menjadi lebih efisien nama Islam digunakan untuk melepaskan tanggungjawabnya. Amat tidak bertanggungjawab sama sekali!

Kini segolongan mahasiswa pula complain berkenaan PTPTN tidak menyediakan wadah pinjaman pelajaran yang berkonsepkan Islam kononnya. Malahan faedah 4% yang ditawarkan dikatakan pula adalah terlampau tinggi.

Maka PTPTN hari ini telah menyediakan pelan yang berlandaskan Islam dan faedahnya hanya 1%. Wahai adik – adik mahasiswa sekalian, keuntungan yang diambil untuk produk – produk yang namanya Islam di bank – bank adalah lebih tinggi dari 4%. Silalah mengkaji dan menulis berkenaannya. Produk - produk yang dikeluarkan atas nama Islam ini pula, kadang kala tidaklah lebih baik. Ini kerana orang yang mencadangkannya kemungkinan tidak faham konsep Islam sepenuhnya.

Ramai beranggapan Islam itu hanya berdasarkan 5 rukun Islam & 6 rukun Iman. Konsep ihsan, bersih, ikhlas, amanah dilupakan dalam sedar! Masyarakat yang beragama Islam pula agak takut untuk menyatakan kesalahan – kesalahan tadbir urus produk – produk perbankan atas jenama Islam. Takut – takut dikatakan tidak faham Islam ataupun mungkin ada yang akan terus menuduh orang yang berkenaan kafir! Ini berlaku dalam masyarakat kita. Sedangkan Nabi S.A.W. hanya menyatakan Abdullah Ibnu Salul munafik hanya setelah turunnya ayat Allah. Kita hari ini sewenang – wenangnya menuduh orang lain kafir hanya kerana berbeza pendapat yang sebegitu kecil sekali.

Persoalan ini diburukkan lagi dengan panel syariah perbankan Islam yang tidak cukup kuasa dalam memainkan peranan yang sepatutnya. Dipihak ahli – ahli Majlis Fatwa serta JAKIM pula, sepatutnya ada Jawatankuasa Khas yang membincangkan konsep Islam pada perbankan dengan lebih aktif lagi.

Ini amat perlu kerana nama baik Islam digunakan untuk tujuan pengambilan untung. Janganlah hanya kerana inginkan nama Islam digunakan maka yang tercemar semula ialah Islam itu sendiri!




No comments: